Sabtu, 2 Februari 2019

Dua Hari Bergegas : Lembaran Baru Untuk Kehidupan Kota Yang Lama Ku Impikan

Selepas kegagalan aku untuk mencari peluang pekerjaan yang sesuai, aku tidak berputus asa begitu saja. Aku mengiklankan pencarian kerja kosong sekali lagi di majalah.com. Tetapi kali ini, aku mengiklankan diri dengan menggunakan akaun baru yang didaftarkan atas e-mail Yahoo milikku. Pencarian itu membuahkan hasil. Ada seorang lelaki mesej aku melalui whatsapp untuk memberi tahu yang dia memerlukan pekerja pembantu untuk butiknya. Tawaran kerja itu di Kota Damansara bersebelahan dengan Giant Kota Damansara. Aku boleh berulang alik dari Sungai Buloh ke stesen MRT berdekatan iaitu Surian setiap hari. Itu melegakan hati aku dan keluargaku. Pada hari Isnin lepas, aku sudah meminta cuti dari hari Sabtu hingga Rabu dengan alasan aku mahu bercuti bersama keluarga ke Port Dickson meskipun kami bertolak ke PD pada hari Ahad. Hari Jumaat, hari bergegas yang pertama. Pagi itu, aku keluar dari rumah kira-kira pukul 6:15 minit pagi . Aku sudah nekad dengan perancanganku. Aku perlu mengambil sijil ketiga di giat. Jadi, aku perlu menaiki bas MRT ke Paya Jaras dan berjalan masuk ke simpang pintas ke Subang Bestari dan menghala ke Giatmara Subang. Bas MRT pula tidak lagi mengambil penumpang yang membayar tunai. Nasib baiklah abang driver bas ada jual kad touch n go rapid. Tak pasal-pasal habis sepuluh ringgit. Aduhai. 6:40 minit pagi, aku sudah terpacak di depan giat. Pintu masih lagi berantai. Tiba-tiba pakcik yang memegang kunci giat menyapaku dari belakang. Dialah yang membukakan pintu giat dan menyuruh aku menunggu di dalam. Lama dah tak jumpa pakcik tu. Kalau masa aku masih lagi penuntut Giatmara, tiap-tiap hari aku yang pergi ketuk pintu rumahnya untuk mengambil kunci dan membuka pintu giat. Lama juga aku menunggu cikgu giat sehingga pukul 8 pagi, kerani giat yang membuka pejabat giat. Barulah aku boleh mengambil sijil ketigaku. Rupanya bukan sijil. Tetapi penyata gred yang tidak penting untuk sesi temudugaku esok hari. Aduhai. Sudahlah waktu subuh, aku perlu berebut bilik air untuk bergegas mandi. Kini aku perlu bergegas ke jalan besar untuk mendapatkan bas MRT yang menghala ke Merbau Sempak. 8:50 minit pagi, aku turun dari bas MRT, bas kedua yang aku naiki hari ini betul-betul di hadapan masjid kampung. Aku perlu melangkah pula ke simpang kampung untuk menaiki bas percuma Smart Selangor yang menghala ke Puncak Alam. Hampir pukul 11, barulah aku sampai ke Saujana utama. Sekali lagi, aku melangkah dalam keadaan tergopoh-gapah ke kedai tempat aku bekerja. Aduhai. Pukul 6:50 minit petang, aku menaiki bas percuma Smart Selangor menuju terus ke Stesen MRT Sungai Buloh untuk menambah nilai kad touch n go yang baru aku bali pagi tadi. Aku terus bertanya pada seorang akak yang sama menaiki bas percuma itu kerana aku tahu bas percuma ini hanya berhenti di KTM Sungai Buloh. Aku tak pasti jikalau aku masuk ke KTM boleh tembus ke MRT atau tidak. Akak itu berkata boleh dan dialah yang menunjukkan cara menambah nilai ni kaunter. Dia seorang guru tadika di Saujana utama yang selalu pulang ke rumah ibubapanya di Hulu Langat setiap hujung minggu. Setelah selesai aku menambah nilai, aku terus menaiki bas kelima yang aku naiki pada hari ini, bas MRT yang menuju ke masjid kampungku. Kira-kira hampir jam sembilan, aku tiba di rumah. Esok hari yang lebih penting, aku terus tidur awal selepas mandi dan makan malam. Pukul 7 lebih, aku menaiki bas MRT ke Stesen MRT Sungai Buloh. Dari stesen itu, aku mengambil MRT ke stesen Surian. Kali pertama aku berjalan sendiri menggunakan MRT membuat aku sedikit teruja dan bangga dengan diriku sekali gus rasa takut jika sesat di kotaraya metropolitan yang besar bercampur baur dalam masa yang sama. Setelah turun dari stesen Surian, aku terus menuju ke perhentian bas MRT. Aku tidak pasti bahawa bas MRT yang ada di situ melalui Giant Kota Damansara atau tidak. Aku terus bertanya pada seorang wanita yang sama menunggu bas di perhentian itu. Dia juga menuju ke tempat yang berdekatan dengan Giant. Aku terus mengikuti dia. Sampai dia depan Giant, dia terus pergi ke tempat kerjanya di kawasan rumah-rumah kedai berhadapan Giant Kota Damansara. Aku pula tiada tujuan dan hilang arah untuk mencari butik tempat aku akan ditemuduga pada pagi itu. Rupanya butiknya memang betul-betul di dalam bangunan bersebelahan dengan Giant Kota Damansara. Setelah temuduga dan memastikan hari aku mula bekerja di situ, aku keluar dari bangunan itu. Sedikit teruja kerana akhirnya aku dapat bekerja di butik mewah di sebuah bangunan yang menempatkan pejabat, lot-lot kedai yang mahal dan kondominium mewah yang hanya dapat dimiliki oleh golongan elit yang berpendapatan tinggi. Tapi, aku juga berasa paranoid sama ada kerja ini senang atau sukar untuk aku fahami dan jalankan memandangkan kondisi butik yang bakal aku bekerja adalah butik mewah yang pasti mementingkan kesempurnaan dalam segala aspek produknya. Tapi, aku juga berasa gembira kerana akhirnya aku dapat juga bekerja di sebuah tempat yang berhawa dingin. Sudah puas aku bekerja di tempat yang panas walaupun mempunyai banyak kipas tetapi anginnya tetap tak terasa. Untuk menghilangkan rasa gementarku, aku mengambil keputusan untuk bersiar-siar menaiki MRT. Tempat yang aku tuju adalah Muzium Negara. Setelah selesai melawat Muzium Negara yang bagi aku tidaklah semenarik muzium negeri di Shah alam yang pernah aku kunjungi dahulu. Bahagian muzium hanya terbahagi kepada empat bahagian iaitu Prasejarah, Perdagangan Awal, Zaman Kolonial dan Malaysia Kini. Artifak dan tarikan-tarikan lain kurang memberangsangkan diriku. Aku terus keluar dari muzium dan menaiki semula MRT untuk pulang ke stesen MRT Sungai Buloh. Setelah turun dari bas MRT di depan masjid kampung, aku terus melangkah ke rumah dengan perasaannya yang bercampur baur yang bagiku adalah satu pengalaman yang akan membuka lembaran baru kehidupanku di kotaraya seperti yang aku pernah impikan setelah mengikuti drama bersiri 'Carrie Diaries' yang mengisahkan tentang seorang gadis muda bernama Carrie Bradshaw yang mengejar impiannya untuk bekerja di Manhattan, New York dari bandar kelahirannya, Castlebury, Connecticut. Aku juga sama bertuah kerana mendapat peluang untuk bekerja di Kota Damansara, Petaling Jaya dari bandar kelahiranku, Sungai Buloh. Setelah berpenat lelah bergegas ke sana ke mari dari satu tempat ke satu tempat dalam masa dua hari ni, akhirnya aku dapat menghelakan nafas lega dan bersedia untuk percutianku esok hari ke Port Dickson. Setelah jerih perih kehidupan yang kulalui, akhirnya dapat juga aku merasa kemanisan dunia ini. Tapi aku harap sangat segalanya berjalan lancar. Percutian aku, proses berhenti kerja dan kerja baru yang bakal aku lalui. Harap-haraplah mudah untuk aku hadapi. Wish me luck, guys for a better future.... Amin..... Insha-Allah.....

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Kemewahan Bukannya Seindah Yang Kusangka

Sabtu yang lepas adalah hari terakhir aku berkhidmat di sebuah butik di Saujana Utama. Semuanya berjalan lancar hingga ke detik akhir ketika...