Sedihnya hati aku bila memikirkan hal semalam. Sudah 4 hari aku menjahit kain, tetapi semalam masih lagi aku mengambil masa menjahit sehelai kain lipat batik seharian. Muka aku mula menebal apabila majikan aku menegur ' Aik pis, jahit kain seharian'. Aku mula meragui diriku. Tapi aku perlu teruskan sekurang-kurangnya sehingga sabtu ini kerana hari Ahad hari cuti. Dan hari Ahad ni, semua adik-beradikku berkumpul. Aku tak sanggup lagi untuk bekerja di butik. Kemahiran aku belum cukup memuaskan untuk aku berkhidmat di butik. Dan akibat mementingkan penghasilan baju, kain yang aku pernah hasilkan sebelum aku bekerja di butik ini ialah 4 hingga 5 bulan lepas sewaktu aku masih pelatih giatmara. Aku harap kalau kakak-kakak aku balik Ahad ni, aku boleh minta pendapat mereka. Aku mahu berhenti kerja dan menjahit di rumah sahaja untuk dijual atas talian. Tapi aku takut, baju-baju yang aku hasilkan tak laku atas sebab persaingan jualan pakaian di internet sangat tinggi. Apa yang patut aku lakukan? Ya Allah, berilah jalan yang lebih mudah untuk aku. aku mahu menjahit cuma bukan di bawah orang. Tiap kali aku bekerja dengan orang, aku menjadi paranoid. Semakin aku takut, semakin banyak kesilapan demi kesilapan yang aku lakukan. Dan semakin banyak kesilapan, semakin banyak masa yang aku ambil untuk perbetulkan. Aku sangat sedih. Mungkin juga punca aku sakit selepas bekerja di sebuah pasaraya dulu adalah kerisauan yang berpanjangan. Hati tak pernah tenteram atau tenang kerana aku masih tak tahu selok-belok skop kerjaku. Aku terbaca di internet semalam, orang sepertiku sekarang berada di dalam keadaan penentuan diri sendiri. Aku harus memilih sama ada aku mahu teruskan dengan apa yang aku mulakan iaitu menceburi bidang jahitan atau mengubah langkahku ke bidang lain. Sudah terlalu tua untuk aku mengubah langkahku. Kawan-kawan sebayaku majoritinya sudah di menara gading. Aku masih di takuk lama. Emak tidak kisah aku mahu berhenti kerja atau tidak kerana jikalau aku berhenti kerja dan menjahit di rumah, emak boleh tumpang menjahit sekali untuk mencari pendapatan. Lagipun, emak dan abangku risau akan masalah pengangkutan yang aku alami. Driver bas yang beremosi, bas yang tentu pukul berapa dan waktu bas yang memaksa aku untuk pergi ke tempat kerja 2 jam lebih awal dan pulang ke rumah 2 jam lebih lambat. Waktu kerja bermula 10 pagi sehinggalah pukul 7 petang. Bas pagi hanya ada pukul 10:40 pagi. Jadi aku perlu ambil bas lebih awal iaitu bas jam 7:40 pagi setiap hari. Bas untuk aku pulang pula hanya ada pukul, 6, 6:45 dan 8:40. Kerana aku habis kerja pukul 7, aku perlu ambil bas jam 8:40. Kalau aku boleh tiba di rumah jam 9:15, itu nasib baiklah. Jika sebaliknya, aku tiba di rumah jam 10. Tapi apapun aku lakukan, aku mesti bertahan untuk 2 hari ini dan Ahad adalah masa untuk aku menentukan hala tuju aku. Aku harap adik beradik aku menerima baik rencanaku. Apa yang aku risau ialah abangku. Kerana memberi pinjam duit kepada kakak-kakakku, saluran Astro sudah pernah dipotong. Aku takut jikalau dia tidak bersetuju dan terasa seperti aku membiarkan dia menanggung beban sepenuhnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan