Isnin, 11 Februari 2019

Kemewahan Bukannya Seindah Yang Kusangka

Sabtu yang lepas adalah hari terakhir aku berkhidmat di sebuah butik di Saujana Utama. Semuanya berjalan lancar hingga ke detik akhir ketika aku memberikan surat perletakan jawatan pada Kak Lina. Aku juga berasa kasihan tetapi apakan daya. Aku juga perlu mementingkan periuk nasi aku. Hari Ahad keesokan harinya, aku menghadiri majlis perkahwinan abang kawanku, Ain Fitri di Sungai Pelong. Aku tahu hari itu adalah hari terakhir aku akan bergembira sebelum aku memulakan kerja baruku di Kota Damansara. Apabila aku mula bekerja, aku tak rasa ini kehidupan yang aku inginkan. Kawasan elit. Bangun pagi untuk mengejar bas dan MRT. Satu jam perjalanan dalam bas. Kaki aku rasa sakit kerana berjalan 1 kilometer dari stesen Surian ke tempat kerjaku. Aku tahu aku takkan lama di sini. Apa-apapun, aku tetap kena bertahan sehingga aku dapat kerja yang kuingini. Kerja di sini pun bukannya pegang mesin jahit pun. Aku kena layan pelanggan. Aduhai. Aku penat. Harap-haraplah kehidupanku lebih baik. Harap-haraplah aku dapat tawaran yang lebih bagus..... Amin.....

Rabu, 6 Februari 2019

Bukan Percutian Kegemaranku

Dari hari Ahad yang lepas hingga Selasa lepas, aku bersama keluargaku (kecuali kakak sulungku beserta suaminya) pergi bercuti di Port Dickson. Kami menginap di sebuah apartment tiga bilik di Glory Beach Resort. Tak kurang sama dengan percutian keluarga yang aku pernah alami dahulu di Pulau Pangkor, Pengkalan Balak, Teluk Batik dan Cameron Highlands. Percutianku di Pengkalan Balak, kami menginap di inap desa yang mengadap laut tetapi bagiku 'low class' kerana tiada siling. Apabila sedang baring sambil memandang ke atas, ternampaklah jaring atau kain perca yang dijadikan pengganti siling seperti kebiasaan rumah di negeri Melaka. Selain itu, jamban cangkung sahaja tersedia. Sudahlah pintu jamban tiada kunci, hanya menggunakan satu tong berisi penuh air untuk menyendal pintu jamban. Aduhai... Percutian di Teluk Batik pula adalah percutian balik hari seperti kebiasaan percutian bersama bapaku. Percutian di Pulau Pangkor pulak, satu pulau takde makanan ditambah dengan 'blackout' seluruh pulau beserta amukan ayahku daripada masalah-masalah yang timbul. Percutian di Cameron Highlands pun percutian balik hari kerana bapaku sukar untuk meninggalkan rutin harian memancingnya. Kali ini, percutian di Port Dickson. Hari Ahad, kami bertolak dari rumah kira-kira jam sepuluh atau sebelas. Kami singgah makan di Kafe Kampung Kaw. Aku dah agak ini akan terjadi. Aku berasa kesian pada kakak keduaku. Jadi, aku cepat-cepat makan dan memegang anak bongsunya yang baru berusia enam ke lapan bulan. Selepas itu, kami bergerak ke Glory Beach Resort untuk check in. Selepas mengemas barang ke dalam apartment sewaan kami, aku terus mengupas telur rebus yang sudah dibawa dari rumah untuk dibuat sandwic telur. Kemudian, kami turun ke bawah ke kawasan kolam renang. Masalah kedua timbul apabila aku berkali-kali tersedak akibat air masuk melalui lubang di leherku yang sudah wujud sejak tahun 2016 selepas aku terpaksa melakukan pembedahan 'trakeastomi' yang menebuk bahagian luar leherku ke saluran pernafasan sebagai alternatif untuk pernafasan yang lebih lancar sewaktu aku masih kritikal menghidap penyakit pneumonia atau paru-paru berair dan jangkitan kuman tibi dalam paru-paru. Di situ, aku tahu aku takkan menikmati keseronokan percutian ini. Kemudian, kami membawa abah ke pantai untuk melakukan terapi tanam dalam pasir. Tak lama pun kami di situ. Sama seperti percutian yang lepas. Aku teringat akan percutianku di Pulau Pangkor. Lima hari ke empat hari percutian, hari terakhir baru pergi pantai. Terasa bodoh di situ. Hari kedua terakhir tu, aku keluarlah sendiri ke pantai, anak-anak sedara aku pula mengekori dari belakang. Setelah aku pulang ke apartment kami, sedara aku pula mula tarik muka depan aku. Padahal aku dah kata aku nak ke pantai dan dia yang membenarkan anak-anaknya mengikut aku. Dia juga yang berjanji petang itu mahu ke pantai. Itulah, susah kalau kawin muda. Anak tak reti nak jaga sendiri. Aku maksudkan sedara aku bukan kakak aku. Kemudian kami pergi ke rumah terbalik. Di sini, abah pula yang tersangkut. Rumah terbalik Port Dickson ni dua tingkat. Jadi abah sampai tingkat bawah jer sebab naik kerusi roda. Kemudian kami ke Ostrich Farm. Mak dan abah tunggu di dalam kereta bersama cucu bongsu mereka yang sedang nyenyak tidur. Abah pula menaiki kerusi roda. Jadi, pun sama tak boleh masuk. Kemudian kami ke Warung Mak Mah. Kemudian ke pantai semula tapi aku tak ikut. Keesokan harinya, pagi hari kami bersarapan di restoran mewah di tingkat bawah resort kami kerana mendapat kupon untuk setiap hari kami menginap. Setelah itu, mereka pergi ke pantai semula untuk mandi-manda terakhir dan terapi abah. Pakcik makcikku juga ada setelah selesai percutian mereka di Tasik Banding, Perak. Kami juga terjumpa adik abah beserta anak-anaknya di situ. Kemudian kami sekeluarga dan keluarga pakcikku bergerak ke 3D Art Gallery. Bergambar jugak sama macam rumah terbalik tu. Kemudian, kami makan tengahari di medan selera Salak Tinggi. Dapat pekena cendol. Sepanjang percutian ni, Kafe Kampung Kaw, Warung Mak Mah, King Char Kuey Teow, Ayam Pasu dan medan selera Salak Tinggi adalah tempat kami makan. Kemudian, kami pulang ke rumah. Penat betul. Dan aku masih tak dapat percutian yang aku impikan. Takpelah. Aku muda lagi. Jauh lagi perjalanan aku. Insyaallah, tercapailah hasrat aku. Amin.... Wish me luck untuk kerja baru aku yang bakal bermula Isnin depan. Harap-haraplah aku boleh handle. Amin..... Wish me luck guys for a better future......

Sabtu, 2 Februari 2019

Dua Hari Bergegas : Lembaran Baru Untuk Kehidupan Kota Yang Lama Ku Impikan

Selepas kegagalan aku untuk mencari peluang pekerjaan yang sesuai, aku tidak berputus asa begitu saja. Aku mengiklankan pencarian kerja kosong sekali lagi di majalah.com. Tetapi kali ini, aku mengiklankan diri dengan menggunakan akaun baru yang didaftarkan atas e-mail Yahoo milikku. Pencarian itu membuahkan hasil. Ada seorang lelaki mesej aku melalui whatsapp untuk memberi tahu yang dia memerlukan pekerja pembantu untuk butiknya. Tawaran kerja itu di Kota Damansara bersebelahan dengan Giant Kota Damansara. Aku boleh berulang alik dari Sungai Buloh ke stesen MRT berdekatan iaitu Surian setiap hari. Itu melegakan hati aku dan keluargaku. Pada hari Isnin lepas, aku sudah meminta cuti dari hari Sabtu hingga Rabu dengan alasan aku mahu bercuti bersama keluarga ke Port Dickson meskipun kami bertolak ke PD pada hari Ahad. Hari Jumaat, hari bergegas yang pertama. Pagi itu, aku keluar dari rumah kira-kira pukul 6:15 minit pagi . Aku sudah nekad dengan perancanganku. Aku perlu mengambil sijil ketiga di giat. Jadi, aku perlu menaiki bas MRT ke Paya Jaras dan berjalan masuk ke simpang pintas ke Subang Bestari dan menghala ke Giatmara Subang. Bas MRT pula tidak lagi mengambil penumpang yang membayar tunai. Nasib baiklah abang driver bas ada jual kad touch n go rapid. Tak pasal-pasal habis sepuluh ringgit. Aduhai. 6:40 minit pagi, aku sudah terpacak di depan giat. Pintu masih lagi berantai. Tiba-tiba pakcik yang memegang kunci giat menyapaku dari belakang. Dialah yang membukakan pintu giat dan menyuruh aku menunggu di dalam. Lama dah tak jumpa pakcik tu. Kalau masa aku masih lagi penuntut Giatmara, tiap-tiap hari aku yang pergi ketuk pintu rumahnya untuk mengambil kunci dan membuka pintu giat. Lama juga aku menunggu cikgu giat sehingga pukul 8 pagi, kerani giat yang membuka pejabat giat. Barulah aku boleh mengambil sijil ketigaku. Rupanya bukan sijil. Tetapi penyata gred yang tidak penting untuk sesi temudugaku esok hari. Aduhai. Sudahlah waktu subuh, aku perlu berebut bilik air untuk bergegas mandi. Kini aku perlu bergegas ke jalan besar untuk mendapatkan bas MRT yang menghala ke Merbau Sempak. 8:50 minit pagi, aku turun dari bas MRT, bas kedua yang aku naiki hari ini betul-betul di hadapan masjid kampung. Aku perlu melangkah pula ke simpang kampung untuk menaiki bas percuma Smart Selangor yang menghala ke Puncak Alam. Hampir pukul 11, barulah aku sampai ke Saujana utama. Sekali lagi, aku melangkah dalam keadaan tergopoh-gapah ke kedai tempat aku bekerja. Aduhai. Pukul 6:50 minit petang, aku menaiki bas percuma Smart Selangor menuju terus ke Stesen MRT Sungai Buloh untuk menambah nilai kad touch n go yang baru aku bali pagi tadi. Aku terus bertanya pada seorang akak yang sama menaiki bas percuma itu kerana aku tahu bas percuma ini hanya berhenti di KTM Sungai Buloh. Aku tak pasti jikalau aku masuk ke KTM boleh tembus ke MRT atau tidak. Akak itu berkata boleh dan dialah yang menunjukkan cara menambah nilai ni kaunter. Dia seorang guru tadika di Saujana utama yang selalu pulang ke rumah ibubapanya di Hulu Langat setiap hujung minggu. Setelah selesai aku menambah nilai, aku terus menaiki bas kelima yang aku naiki pada hari ini, bas MRT yang menuju ke masjid kampungku. Kira-kira hampir jam sembilan, aku tiba di rumah. Esok hari yang lebih penting, aku terus tidur awal selepas mandi dan makan malam. Pukul 7 lebih, aku menaiki bas MRT ke Stesen MRT Sungai Buloh. Dari stesen itu, aku mengambil MRT ke stesen Surian. Kali pertama aku berjalan sendiri menggunakan MRT membuat aku sedikit teruja dan bangga dengan diriku sekali gus rasa takut jika sesat di kotaraya metropolitan yang besar bercampur baur dalam masa yang sama. Setelah turun dari stesen Surian, aku terus menuju ke perhentian bas MRT. Aku tidak pasti bahawa bas MRT yang ada di situ melalui Giant Kota Damansara atau tidak. Aku terus bertanya pada seorang wanita yang sama menunggu bas di perhentian itu. Dia juga menuju ke tempat yang berdekatan dengan Giant. Aku terus mengikuti dia. Sampai dia depan Giant, dia terus pergi ke tempat kerjanya di kawasan rumah-rumah kedai berhadapan Giant Kota Damansara. Aku pula tiada tujuan dan hilang arah untuk mencari butik tempat aku akan ditemuduga pada pagi itu. Rupanya butiknya memang betul-betul di dalam bangunan bersebelahan dengan Giant Kota Damansara. Setelah temuduga dan memastikan hari aku mula bekerja di situ, aku keluar dari bangunan itu. Sedikit teruja kerana akhirnya aku dapat bekerja di butik mewah di sebuah bangunan yang menempatkan pejabat, lot-lot kedai yang mahal dan kondominium mewah yang hanya dapat dimiliki oleh golongan elit yang berpendapatan tinggi. Tapi, aku juga berasa paranoid sama ada kerja ini senang atau sukar untuk aku fahami dan jalankan memandangkan kondisi butik yang bakal aku bekerja adalah butik mewah yang pasti mementingkan kesempurnaan dalam segala aspek produknya. Tapi, aku juga berasa gembira kerana akhirnya aku dapat juga bekerja di sebuah tempat yang berhawa dingin. Sudah puas aku bekerja di tempat yang panas walaupun mempunyai banyak kipas tetapi anginnya tetap tak terasa. Untuk menghilangkan rasa gementarku, aku mengambil keputusan untuk bersiar-siar menaiki MRT. Tempat yang aku tuju adalah Muzium Negara. Setelah selesai melawat Muzium Negara yang bagi aku tidaklah semenarik muzium negeri di Shah alam yang pernah aku kunjungi dahulu. Bahagian muzium hanya terbahagi kepada empat bahagian iaitu Prasejarah, Perdagangan Awal, Zaman Kolonial dan Malaysia Kini. Artifak dan tarikan-tarikan lain kurang memberangsangkan diriku. Aku terus keluar dari muzium dan menaiki semula MRT untuk pulang ke stesen MRT Sungai Buloh. Setelah turun dari bas MRT di depan masjid kampung, aku terus melangkah ke rumah dengan perasaannya yang bercampur baur yang bagiku adalah satu pengalaman yang akan membuka lembaran baru kehidupanku di kotaraya seperti yang aku pernah impikan setelah mengikuti drama bersiri 'Carrie Diaries' yang mengisahkan tentang seorang gadis muda bernama Carrie Bradshaw yang mengejar impiannya untuk bekerja di Manhattan, New York dari bandar kelahirannya, Castlebury, Connecticut. Aku juga sama bertuah kerana mendapat peluang untuk bekerja di Kota Damansara, Petaling Jaya dari bandar kelahiranku, Sungai Buloh. Setelah berpenat lelah bergegas ke sana ke mari dari satu tempat ke satu tempat dalam masa dua hari ni, akhirnya aku dapat menghelakan nafas lega dan bersedia untuk percutianku esok hari ke Port Dickson. Setelah jerih perih kehidupan yang kulalui, akhirnya dapat juga aku merasa kemanisan dunia ini. Tapi aku harap sangat segalanya berjalan lancar. Percutian aku, proses berhenti kerja dan kerja baru yang bakal aku lalui. Harap-haraplah mudah untuk aku hadapi. Wish me luck, guys for a better future.... Amin..... Insha-Allah.....

Kemewahan Bukannya Seindah Yang Kusangka

Sabtu yang lepas adalah hari terakhir aku berkhidmat di sebuah butik di Saujana Utama. Semuanya berjalan lancar hingga ke detik akhir ketika...