Sorry tak update untuk hari Sabtu lepas. Semalam cuti. Duduk kat rumah jer. Jaga anak-anak buah. Mak diorang ader kelas. Ambil PJJ. Nak potong baju yang jiran tempah pun tak sempat. Harap-harap malam ni boleh potong. Harap-harap harini kerja aku baik-baik pun dah memadai. Harini juga hari jadiku yang ke-20 tapi malangnya aku terpaksa bekerja harini. Alhamdulillah, Sabtu lepas aku dapat menyiapkan 2 helai kain. Yelah, kain pertama tu aku dah siapkan susun tepi hari sebelumnya. Bila hari Sabtu tu aku tinggal jahit zip, tali sangkut, lapik bend pinggang, bend pinggang dan palang cangkuk. Pada pukul 2 sewaktu aku sudah siap dengan kain pertama, lama juga aku menunggu sekiranya ada kain baru yang perlu disiapkan. Puas aku berulang-alik ke tandas untuk menyibukkan diri. Tapi akhirnya, kain kedua ada di mesin jahit tepi kata majikanku. Kain songket yang aku tahu jika selalu ditetas akan mudah terurai kerana tenunannya yang tak rapat seperti kain lain. Kain songket lipat batik atau lipat depan. Bertungkus-lumus aku menyiapkannya kerana hari itu, aku nekad untuk pulang tepat pada waktunya, jam 7. Nasib baiklah siap dengan jayanya pukul 7:10. Hanya tinggal menjahit palang cangkuk dan memo pelanggan pada kain. Tiba-tiba, telefonku berdering. Aku mengangkat panggilan dan terdengar suara emakku yang bertanya aku tamat kerja pukul 7 berapa. Aku bertanya kenapa? Emak berkata kakakku mahu menjemput aku di tempat kerja dan terus ke Nagoya Rawang untuk persediaan aku menjual blouse di shopee. Aku bertanya kepada emak, malam ni? Emak berkata kakakku tidak sempat untuk keluar esok kerana dia ada kelas sepanjang hari. Jadi, malam itu, setelah menjemputku, kakakku yang kedua, emakku, abangku dan kedua-dua anak buahku pergi ke Nagoya Rawang. Selepas itu, kami pergi Aeon Rawang untuk membeli baju anak buahku yang kedua tapi aku hanya tunggu di dalam kereta menjaga anak buahku yang pertama kerana kepenatan. Selepas itu kami kembali ke rumah selepas membeli makanan bungkus kerana semua sudah kelaparan. Sebaik saja sampai di rumah, barang-barang diturunkan dari kereta. Abangku mula menunggang motorsikalnya entah ke mana. Aku segera menuang lauk-pauk ke dalam pinggan mangkuk lalu terus mandi. Selepas mandi, aku makan. Selepas makan, aku tidur. Aku harapkan, dapatlah aku tidur nyenyak seperti sebelum aku bekerja. Tapi, pukul 2,3,4 pagi aku akan terjaga. Dan, aku bangun pada pagi hari pukul 8:25. Tidak biasa seperti dulu yang kebiasaannya aku bangun dari tidur pukul 10 pagi. Seolah-olah tidurku tidak puas lagi. Kemudian, sepanjang hari aku menjaga kedua-dua anak buahku yang tidak mahu tidur barangkali disebabkan suhu yang panas. Rumahku tiada pendingin hawa. Hanya ada kipas siling. Pabila petang, langit mulai mendung kelabu dan mencurahkan hujan membasahi bumi. Barulah kedua-dua anak buahku dapat tidur nyenyak sehingga Ibubapanya tiba sekitar waktu senja. Malam tadi, aku tidur hampir pukul 12 kerana menghabiskan tontonan Gegar Vaganza musim ke-5. Aku tidur seperti kebelakangan ini. Tidak nyenyak, sering terjaga dan tak puas tidur. Ada juga yang sedihkan semalam. Aku harapkan, semua adik-beradikku dapat berkumpul. Tapi kakakku yang kedua sampai ke rumah waktu senja dan kakakku yang pertama datang hanya menyinggah untuk memberi aku kain untuk dibuat bajunya. Selepas itu, dia terus bergerak ke rumah sewa kami di Bukit Beruntung yang baru kosong kerana penyewa kami sudah berpindah. Tak banyak yang boleh aku tanyakan kerana dia hanya ada di rumah kami tak sampai setengah jam dan disebabkan dia membawa sekali kakak iparnya ikut sekali. Betul kata emak, jangan harapkan orang tolong kita. Peluang aku untuk berhenti kerja pun tertangguh tetapi selewat-lewatnya bulan Mac 2019 aku perlu berhenti kerana aku perlu fokus pada jualan baju raya atas talian. 6 bulan untuk dilalui dengan Sabar dan Tawakal. Harap-harap , harini dan seterusnya lebih baik. Penyakitku datang kembali. Paranoid. Apa-apapun, happy birthday to me. Happy sweet twenty. Moga segala hajatku terkabul.
Ahad, 30 September 2018
Jumaat, 28 September 2018
Aku dalam dilemma
Semalam hari Jumaat. Jadi, banyak masa terambil semasa aku bersolat Jumaat. Tapi, tak disangka-sangka aku dapat menyiapkan sehelai kain susun kiri lebih awal iaitu pukul 5:15 petang. Siap lambat, malu pulak. Siap awal, tak tahu pulak nak buat apa. Jadi setelah siap gantung kain, aku terus menyorok di dalam jamban sambil bermain fon. Tapi aku tak boleh terlalu lama di dalam jamban jadi 10 ke 15 minit kemudian, aku keluar dan menuju ke mesin jahitku. Pabila sampai, aku sedar majikanku sudahpun memberikan aku tugasan baru. Aku memikirkan keesokan hari iaitu harini adalah hari last sebelum cuti sehari. Jadi, aku terus siapkan apa yang patut yang mana aku mampu pada saat itu. Diikutkan hati, aku mahu menjahit kain lapik bend pinggang dan mencantum bend pinggang. Tetapi perutku sudah berkeruit-keruit kelaparan. Setelah siap menggosok lipatan susun kiri, aku meletakkannya di atas mesinku dan mula mengemas persekitaran mesin jahitku. Setelah selesai, aku terus keluar dari kedai. Dalam perjalanan ke bustop, aku singgah ke kedai serbaneka milik seorang lelaki India dan membeli Air minuman dalam tin berperisa epal. Separuh kedai itu dipenuhi dengan rak-rak jualan, peti-peti sejuk dan kaunter pembayaran seperti kebiasaan kedai runcit. Yang menghairankan aku ialah separuh lagi dari kedai itu di bahagian belakang seperti kedai kopi yang menempatkan dua meja panjang yang dipenuhi masyarakat India yang sedang asyik melihat perlawanan bola sepak agaknya. Selepas itu, aku singgah ke sebuah kedai burger bersebelahan bengkel kereta yang berderet dengan Mydin. Malam itu, aku makan burger di bustop. Selepas habis makan, kakak yang bekerja di Israk Optic pun tiba menandakan bas selangorku sudah hampir. Bas selangorku ini boleh dilihat lokasinya melalui aplikasi Selangor Intelligence Transit System atau SITS. Semalam aku berada di dalam dilemma kerana kelmarin aku berkeras untuk berhenti kerja kerana aku mengambil masa menjahit sehelai kain susun kiri hampir sehari, tetapi semalam aku hanya mengambil masa sehingga pukul 5:15. Sejam 45 minit lebih awal dari kebiasaannya. Tapi, bila memikirkan kondusi badan aku yang sentiasa keletihan, aku perlu berbincang dengan adik-beradikku esok. Harini tetap aku perlu hadapi. Abang pengurus bas itu juga sudah mahu memasukkan aku ke dalam group WhatsApp bas ini kerana jadual bas yang aku terima dari internet adalah jadual lama. Wish me luck for today and tomorrow. Harap-harap adik-beradikku dapat terima dengan baik keputusanku ini. Kalau tidak, aku tetap akan berhenti kerja tetapi bulan Mac tahun depanlah.
Khamis, 27 September 2018
Hari yang teruk lagi semalam
Sedihnya hati aku bila memikirkan hal semalam. Sudah 4 hari aku menjahit kain, tetapi semalam masih lagi aku mengambil masa menjahit sehelai kain lipat batik seharian. Muka aku mula menebal apabila majikan aku menegur ' Aik pis, jahit kain seharian'. Aku mula meragui diriku. Tapi aku perlu teruskan sekurang-kurangnya sehingga sabtu ini kerana hari Ahad hari cuti. Dan hari Ahad ni, semua adik-beradikku berkumpul. Aku tak sanggup lagi untuk bekerja di butik. Kemahiran aku belum cukup memuaskan untuk aku berkhidmat di butik. Dan akibat mementingkan penghasilan baju, kain yang aku pernah hasilkan sebelum aku bekerja di butik ini ialah 4 hingga 5 bulan lepas sewaktu aku masih pelatih giatmara. Aku harap kalau kakak-kakak aku balik Ahad ni, aku boleh minta pendapat mereka. Aku mahu berhenti kerja dan menjahit di rumah sahaja untuk dijual atas talian. Tapi aku takut, baju-baju yang aku hasilkan tak laku atas sebab persaingan jualan pakaian di internet sangat tinggi. Apa yang patut aku lakukan? Ya Allah, berilah jalan yang lebih mudah untuk aku. aku mahu menjahit cuma bukan di bawah orang. Tiap kali aku bekerja dengan orang, aku menjadi paranoid. Semakin aku takut, semakin banyak kesilapan demi kesilapan yang aku lakukan. Dan semakin banyak kesilapan, semakin banyak masa yang aku ambil untuk perbetulkan. Aku sangat sedih. Mungkin juga punca aku sakit selepas bekerja di sebuah pasaraya dulu adalah kerisauan yang berpanjangan. Hati tak pernah tenteram atau tenang kerana aku masih tak tahu selok-belok skop kerjaku. Aku terbaca di internet semalam, orang sepertiku sekarang berada di dalam keadaan penentuan diri sendiri. Aku harus memilih sama ada aku mahu teruskan dengan apa yang aku mulakan iaitu menceburi bidang jahitan atau mengubah langkahku ke bidang lain. Sudah terlalu tua untuk aku mengubah langkahku. Kawan-kawan sebayaku majoritinya sudah di menara gading. Aku masih di takuk lama. Emak tidak kisah aku mahu berhenti kerja atau tidak kerana jikalau aku berhenti kerja dan menjahit di rumah, emak boleh tumpang menjahit sekali untuk mencari pendapatan. Lagipun, emak dan abangku risau akan masalah pengangkutan yang aku alami. Driver bas yang beremosi, bas yang tentu pukul berapa dan waktu bas yang memaksa aku untuk pergi ke tempat kerja 2 jam lebih awal dan pulang ke rumah 2 jam lebih lambat. Waktu kerja bermula 10 pagi sehinggalah pukul 7 petang. Bas pagi hanya ada pukul 10:40 pagi. Jadi aku perlu ambil bas lebih awal iaitu bas jam 7:40 pagi setiap hari. Bas untuk aku pulang pula hanya ada pukul, 6, 6:45 dan 8:40. Kerana aku habis kerja pukul 7, aku perlu ambil bas jam 8:40. Kalau aku boleh tiba di rumah jam 9:15, itu nasib baiklah. Jika sebaliknya, aku tiba di rumah jam 10. Tapi apapun aku lakukan, aku mesti bertahan untuk 2 hari ini dan Ahad adalah masa untuk aku menentukan hala tuju aku. Aku harap adik beradik aku menerima baik rencanaku. Apa yang aku risau ialah abangku. Kerana memberi pinjam duit kepada kakak-kakakku, saluran Astro sudah pernah dipotong. Aku takut jikalau dia tidak bersetuju dan terasa seperti aku membiarkan dia menanggung beban sepenuhnya.
Rabu, 26 September 2018
Hari turun naik
Semalam agak memenatkan. Yelah, dah tiga hari straight keje, sebelum ni melepak kat rumah jer. Pukul 7 aku dah siap kain, aku terus kemas tempat mesin jahit aku. Siap packing barang dalam beg, aku terus letak beg atas papan mesin. Pastu aku mintak nak pergi beli makanan. Akak tu cakap pergilah, waktu kerja dah habis. Aku pun pergi melilau ke Chocolate nine dan beli Chicken Floss Bun. Lepas habis makan aku terus patah balik kedai untuk ambil beg dan terus ke kedai mamak Fareed yang berhadapan dengan bustop yang berhadapan dengan masjid. Aku layan wifi dan minum air Milo ais. Pukul 8:30 aku dah terpacak kat bustop tu. Aku tunggu bas, bas tak sampai-sampai sehinggalah pukul 9:15. Lewat lebih kurang setengah jam dari waktu sepatutnya. Bila aku naik, aku terus tanya abang driver bas tu, kenapa lambat malam ni bang? Pastu dia terus bising-bising kat pasangan kemboja yang sama naik bas dengan aku. Dia cakap, apasal you naik bas ni? Bas ni sepatutnya lalu terus saja. Last bas pukul 6:45. Dia cakap pada pasangan kemboja tu tapi aku terasa jugaklah sebab aku pun naik sama. Bas last pukul 6:45. Aku keluar kedai pun pukul 7. Nak menapak lagi ke bustop. Ingat tak makan masa ker? Aku terus berdiam diri sehinggalah bas mula sampai ke bustop merbau sempak. Aku tekan butang, pak cik kemboja tu pun tekan butang. Driver bas tu marah lagi. Ya, tekan sekali sudah. I dengar. Duduk depan tak payah tekan butang lah. Sebelum aku turun, dia tanya aku, ni ayah adik ker? Aku cakap bukan. Dia tanya lagi yer ker? Aku balas betul. Dia tersengih dan berlalu pergi. Pagi ni, aku naik bas free ni lagi. Masa aku naik tu, seperti kebiasaan abang pekerja yang uruskan bas smart Selangor ni pun naik. Driver bas kali ni pun berangin tak tentu hala. Dia cakap jerit-jerit kat abang yang naik bas sama ngan aku tu. Dia marah pasal lelaki nama Basir, mungkin pekerja yang uruskan bas smart ni kot. Dia cakap si Basir tu mesej dia. Bas rosak, tak payah balik rumah. Aik, selama ni aku ada tinggalkan bas ker. Dia nak aku tinggalkan bas tu. Aku penat asyik-asyik dapat bas buruk. Abang tadi tu cakap balik. Bas buruk tu kami dah ganti dah. Baru tampal sticker. Tak siap lagi. Lepas tu, sampai lah ke tempat aku nak turun bas, aku cakap kat driver bas tu kat masjid tu yer bang. Driver bas tu period barangkali, dia cakap balik kat aku. Butang loceng takde ker dik sambil menyindir. Aku cakap ada-ada. Pastu aku turun. Aku tertanya, dari malam tadi sampai pagi ni, pemandu bas smart Selangor ni memang banyak masalah ker? Kalau ada masalah pun tak reti nak handle sendiri ker? Kenapa sampai effect kat orang lain? Malam tadi, driver bas tak kasi tekan butang loceng. Pagi ni aku tak tekan butang loceng, driver bas marah pulak. Habis tu, aku nak ikut yang mana satu. Tolonglah. Walaupun bas tu free, korang driver bergaji tau. Cubalah ikhlas sikit buat kerja. Tulah orang Malaysia, kerja dah dapat, adab pulak tak jaga. Kena report nanti baru tau. Spoil mood aku jer. Harap-harap hari ni lebih mudah. Tiga hari jer lagi, pastu cuti sehari. Macam dah setahun jer aku kerja. Penatnya ya ampun. Tapi aku perasan lately, seluar aku longgar sikit pagi ni. Dan dah tiga hari ni aku tidur tak puas. Kadang-kadang pukul 2 pagi 3 pagi terbangun. Pagi tadi pukul 4:30 aku terbangun. Harap-harap cepat pandai. Dah pandai nanti aku buat kat rumah jer. Tak larat den nak menanggung. Yelah, nak jimat punya pasal. Sebelum pergi kerja, aku makan sekeping roti jer sebab loyalah pagi-pagi Kan. Pastu tengah hari aku makan 2 keping roti jer. Dah balik malam baru aku makan berat itu pun kurang separuh dari jumlah yang selalu aku makan. Harap-harap kurus baliklah. Kui kui kui kui kui kui kui kui kui......
Selasa, 25 September 2018
Semalam yang lebih baik
Semalam hari yang lebih baik dari kelmarin. Pada awalnya, aku mulai tekad untuk berhenti kerja kerana aku rasakan jahitan tahap butik bukanlah tahapku yang baru sahaja belajar menjahit. Pinggang kain yang memerlukan sambungan getah dan pengeras agak sukar untuk aku kerana di rumah, aku hanya menjahit baju seperti blouse wanita yang tidak berbelah di depan seperti kemeja atas permintaan emak dan kakakku yang kedua. Tetapi akhirnya, aku berjaya juga menyiapkan sehelai kain susun tepi dalam masa 8 jam. Peningkatan yang baik untuk aku kerana sebelum ini di giatmara dan di rumah, sehelai baju mahupun kain yang aku hasilkan memakan masa hampir 2 hari. Tetapi hati ini masih lagi tak tenteram kerana masih banyak lagi yang aku tidak tahu. Sukar atau tidak, ini jalan yang aku pilih. Kakakku sudah memberi amaran kepadaku sebelum aku memasuki giat lagi, 'sekali kau masuk bidang tu, teruskan sampai habis. Family kita takde yang separuh jalan'. Jadi, semoga hari-hariku selepas ini menjadi lebih mudah. Aku perlu teruskan meskipun hati takut melakukan kesilapan.
Isnin, 24 September 2018
Liku-liku kehidupan
Semalam adalah hari pertama aku bekerja di sebuah butik di Saujana Utama. Hari yang teruk untuk aku. Sudah 3 bulan lebih aku tidak mengunakan mesin jahit industri sejak berakhirnya sesi pembelajaran aku di giatmara. Banyak kesilapan demi kesilapan yang aku lakukan. Hati mulai tak tenteram. Aku sudah mula terfikir untuk berhenti kerja. Tetapi memikirkan keadaan kami sekeluarga yang hanya ditanggung abangku, menghentikan langkahku. Aku fikir, sekiranya aku berhenti, emak pasti suka kerana emak mahu aku bekerja di rumah, di depan matanya. Kerana emak risau akan aku sejak aku sakit teruk akibat paru-paru berair dan jangkitan tibi pada paru-paru yang menyebabkan aku terlantar sakit hampir 2 tahun segalanya kerana badan aku terlalu letih untuk menahan penat bekerja di sebuah pasaraya yang memaksa aku bangun pagi pukul 5 pagi untuk mandi dan bersiap, pukul 7 aku sudah menaiki bas syarikat tersebut lalu aku terus bekerja sehingga pukul 3 sampai ke rumah semasa musim stock-take. Aku pulang pukul 8 malam semalam setelah dijemput abangku. Anginnya tidak baik kerana aku kata kepadanya melalui mesej di WhatsApp, aku tunggu di depan masjid. Dia pun pergi mencari di depan masjid. Sebenarnya, aku tunggu di bustop seberang jalan berhadapan masjid. Aku juga dimarahi kerana tidak menyemak waktu ketibaan bas yang kusangkakan pukul 7:50 tetapi 8:50 malam. Kami berdua juga bertengkar kerana dia memaksa aku untuk mengambil lesen kereta. Aku enggan, kerana aku tahu abangku seorang yang suka mengungkit. Dia pernah mengambil ujian memandu kereta yang mengunakan duit ayahku sewaktu ayahku belum diserang stroke. Dia gagal, ayah marah besar kerana gagal dan duit ujian memandu itu lebur begitu saja. Aku takut perkara yang sama berlaku cuma berubah watak. Emak juga tampak hampir menitiskan air mata. Emak mula melukis pola. Aku mula membantu mak kerana emak tak mahir melukis pola. Hajat emak juga terhenti kerana rumah sewa kami di Bukit Beruntung baru sahaja kosong. Penyewa kami baru saja berpindah. Emak tiada modal untuk membeli kain untuk menghasilkan blouse wanita dan menjual di atas talian. Pakcik ku juga sudah berbulan-bulan lamanya tiada kerja jadi ia sedikit sebanyak menjejaskan pendapatan Ibuku yang bergantung pada kerja-kerja mendobi kain jersi milik pakcik ku yang berniaga perkhidmatan khemah untuk majlis-majlis. Jadi, sekali lagi aku harus akur untuk terus bekerja seperti masa lalu, aku juga pernah ingin berhenti kerja di pasaraya itu namun, ayahku pula diserang stroke dan di masa itu, abangku baru sahaja bekerja dan gajinya rendah. Kedua-dua kakakku sudah berkahwin dan tinggal di tempat lain. Kakakku yang pertama sukar aku jelaskan, kerani bank yang gajinya lebih 3 ribu ringgit tetapi sentiasa tidak mencukupi untuk dirinya dan suaminya. Kakakku yang kedua bekerja dan menyambung belajar dalam masa yang sama. Anaknya sudah 2 orang, komitmennya menjadi lebih tinggi. Susu 2 orang anak, lampin pakai buang 2 orang anak, sewa rumah, bayaran kereta, kos ke tempat kerja, bayaran pengasuh dan lain-lain lagi. Aku tak tahulah sama ada aku dapat bertahan kehidupan sebegini. Semoga Allah mempermudahkan hidupku. Semoga aku berjaya. Moga aku tak melakukan kesilapan lagi. Amin.....
Khamis, 13 September 2018
Kusangka melangkah di lapangan rumput nan luas, rupanya menyeberangi titian kayu yang halus
Perjalanan selepas giatmara bukanlah semudah yang disangka. Enam bulan baru belajar menjahit, masakan mahir membuat segala baju. Mencari kerja sebagai tukang jahit separa mahir sangatlah sukar. Rata-rata kedai jahit menginginkan pekerja mahir sahaja atau pekerja wanita sahaja. Bagaimana pula nasib insan sepertiku. Walaupun kebanyakan pereka fesyen datang dari kalangan lelaki, menceburi bidang jahitan masih lagi sukar dengan syarat-syarat kerja yang lebih menyebelahi golongan wanita. Bagaimana pula dengan pelopor baru bidang jahitan yang masih mentah di arena ini sekiranya semua syarikat jahitan mementingkan diri untuk mengupah hanya pekerja mahir. Aku juga sukar untuk mencari kerja jahitan kerana kekangan kenderaan. Aku tiada kereta mahupun motor. Aku hanya mampu bergantung kepada bas MRT yang memasuki kampung tetapi aku juga perlu akur sekiranya tawaran kerja terletak di kawasan yang tidak dimasuki bas MRT seperti Kuang, Saujana Utama dan Subang. Nota tambahan, ini hanyalah satu permulaan. Setiap bidang ada dugaan. Jangan biar diri mengalah. Berjuang hingga ke titisan terakhir. Apa maknanya hidup jika jiwa terpenjara. Jadi berjuanglah untuk membebaskan jiwamu. Sekurang-kurangnya ......AKU CUBA!!!!!
Kemewahan Bukannya Seindah Yang Kusangka
Sabtu yang lepas adalah hari terakhir aku berkhidmat di sebuah butik di Saujana Utama. Semuanya berjalan lancar hingga ke detik akhir ketika...